Catatan hari ke 12 tanpa bapak


Assalamualaikum bapak. Rindu kat bapak. Sebelum ni, Jumie dah tengok macam mana Khafi kehilangan mak dan abah dia. Jumie sedih. Menangeh juga. Tapi bila jadi kat diri sendiri. Tiba-tiba, rasa dia tu...Jumie tak tau nak habaq macam mana. Macam tak percaya Jumie akan lalui benda ni sekarang...
Jumie duk lawan tak mau menangeh. Bukan sebab nak tunjuk kuat, bapak pun tau....Jumie lah anak bapak yang paling tak kuat. Tapi mungkin Jumie terkejut sangat-sangat...38 tahun Jumie kenal bapak. Macam-macam kita buat sama-sama dari Jumie kecik. Ikut bapak pi jala ikan, kait pokok nyiok, kutip kekabu, tangkap ulaq sawa lepas banjir... Bapak usung Jumie merata sampai Jumie bara satu hari Jumie dah anak dara masa tu, Jumie kata "Bapak ni duk ajak Jumie pi macam-macam..bapak tau tak Jumie anak perempuan?" Sejak tu bapak dah tak ajak Jumie ikut aktiviti lasak dah. Rasanya masa tu Jumie form 4.

Tapi macam mana kita gaduh pun, Jumie tau...dalam semua anak perempuan bapak...Jumie bapak paling sayang Sebab tu masa hari Jumie kawen, bapak menangeh......Masa Kak Ita and Kak Ulie kawen pun bapak tak nangeh. Surianie kawen lagi laaaaa bapak tak nangeh   Bapak....rasanya macam baru semalam Jumie bawak bapak and mak jalan-jalan pi kenduri akikah cucu Abang Sani, pastu ronda Balik Pulau sampai sesat sebab Abang Nong tak tau jalan, pastu kita pi open house rumah Achi Kelumbong.....tak sangka ronda-ronda kita haritu adalah ronda-ronda yang terakhir.
Hari itu, bapak memang lain. Tapi lani baru Jumie perasan pasaipa bapak lain pada hari itu. Kalau Jumie tau haritu adalah hari terakhir kita ronda......Jumie akan belanja bapak lebih daripada semangkok Mokti   Bapak makan punya seronok walaupun kena tunggu lama sikit. Bapak tak komplen, makan lagi semangat adalah. Selalunya kalau Jumie ajak bapak berhenti makan ais krim bila kita pi ronda, bapak selalu kata "Tula hang gemok..hang suka makan ais krim saja..." Ingat tak dulu bapak juga pernah kata "Hang ni gemok sangat dah...aku rasa hang kena isap pitt."
Bapak....lani takdak sapa dah nak kata tu kat Jumie.

Lani, kami hari-hari akan share dalam group gambar dan video bapak. Banyak sungguh kenangan manis kami dengan bapak. Bapak adalah yang terbaik dalam hidup kami. Walaupun bapak bukan orang yang belajar tinggi, eja Ramesh pun jadi Ramas, tapi bapak make sure kami anak-anak semua boleh baca, boleh kira, boleh mengaji, boleh bekerja dan boleh berdiri atas kaki sendiri. Lani anak bapak semua boleh drive, ada kereta sendiri, ada rumah sendiri. Dua orang anak bapak boleh bawak van, yang boleh bawak motor clutch 3 orang. Survival skill yang bapak ajar dan pesan kat kami adik beradik sejak kecil menjadi satu pegangan yang menjadikan jati diri kami. Senang kata, kalau orang puji kami baguih...bukan sebab kami baguih bapak...tapi sebab bapak adalah bapak kami.
Banyak sungguh pengorbanan bapak untuk besarkan kami semua lima adik beradik. Serba serbi lengkap. Tak ada satu ingatan dalam hidup kami yang mengatakan kami tak cukup makan. Kalau pun kami yang rasa terkurang, itu adalah kelemahan kami kerana kalau kami di tempat bapak mungkin kami pun tak boleh bagi sebaik ini.


Ya Allah...rindunyaaa kat Bapak....Bapak dengar tak apa Jumie duk cakap ni?

Mak? Mak okay....bapak jangan risau. Mula-mula memang mak tak kuat, dia tidoq peluk seluar dan baju bapak. Kami kata, mak kena tidur. Jangan sedih sedih sangat. Mak kata, mana boleh cinta aku 52 tahun boleh hilang dalam 3 hari. Jumie teman mak tidur masa seminggu awal tu, tapi ada satu pagi tu...mak terkejut sebab dia kata dia tengok Bapak tidoq sebelah dia. Rupa-rupanya tu Jumie...."Hang tidoq sebijik macam bapak hang..." (kesian kat Khafi)

Mak duduk dengan kami semua. Pusing-pusing. Tapi Kak Ita kata...mak akan duduk lama dengan Kak Ita sebab dia ketua. Kami tak kisah, kami semua akan pi tengok mak kat rumah Kak Ita. Hari ni pun, kami tanam pokok durian dua batang kat rumah Kak Ita. Kak Ita kata, bapak la suruh dia tanam pokok durian. Kalau Bapak ada...mesti tadi bapak yang tanam pokok tu. Tapi takpa, Jumie and Abang Budie yang tanam. Kalau harap Abang Apis....cangkul cangkul lepas dua hari baru jadi lubang.

Bapak...haritu masa hari pengebumian bapak. Ramai mai. Kawan2, jiran2, tokelan...ada yang Jumie kenai. Ada yang Jumie tak kenai. Yang paling Jumie sayu, bila orang yang Jumie tak kenai...mai tengok Bapak...depa peluk bapak, depa sayang bapak..Mesti bapak ada buat sesuatu yang baik kat orang tu. Kawan-kawan opis Jumie pun ramai mai bapak....ustaz-ustaz Pusat Islam pun mai tau Bapak..depa mai bergilir-gilir. Tapi Boss Jumie mai last sekali and solat jenazah sekali.

Macam yang bapak wasiat, Mamu Arshad settle bapak dari awai sampai last. Bapak beruntung ada kawan baik macam Mamu Arshad. Hanya Allah boleh balas jasa baik Mamu....kami anak-anak pun mungkin tak terbalas.

Okay la bapak. Jumie nak tidoq dah. Alhamdulillah demam dah kebah, batuk and selsema pun dah makin elok. Minggu depan Jumie nak masuk kerja full dah...and insya Allah ... show must go on. Jumie tak akan lupa doa dan zikir untuk bapak. Jumie dah tulis nama bapak kat belakang Quran Jumie. Hari-hari kalau Jumie mengaji, Jumie akan baca nama bapak..

Jumie tak akan lupa bapak. Bapak the best. Bapak one in a million. Kami sayang bapak. Bapak....tunggu tau. Nanti bapak sambut kami kat Sana okay. Insya Allah semoga Allah pertemukan kita semua kat Syurga nanti.

Bye bye Bapak.

~~~~ Al Fatihah untuk bapak kami
SAMSUDIN BIN ABDULLAH
28.9.1946 - 2.5.2023
Catatan hari ke 12 tanpa bapak

Terima kasih semua yang mengucapkan ingatan, yang bersedekah, yang menyumbang, yang membantu, yang ziarah, yang solat, yang mendoakan.
Mohon maaf jika ada meses ucapan yang saya tertinggal.
Hanya Allah yang dapat membalas semua jasa kalian




Comments

Popular Posts